“Ya, saya sudah berkahwin dengan seorang lelaki berusia 49 tahun yang sudah mempunyai isteri dan bapa kepada 13 orang anak. Ini adalah jodoh yang tuhan telah tulis buat saya,” kata bekas isteri pelawak Salih Yaccob ini, memulakan bicara dalam pertemuan eksklusif dengan Mega.#
Nor Raha muncul kepada media atas nasihat suami yang baru dinikahinya, yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Z pada Disember lalu. Ini adalah bagi merungkai segala misteri di sebalik cerita-cerita yang dibangkitkan oleh Salih sebelum ini yang mendakwa wanita itu meminta cerai kerana punya orang ketiga selepas bertemu rakan lama dalam sesi reunion. Mega catatkan semula hasil temubual dengan anak kelahiran Perak ini mendedahkan punca perceraian antara mereka dari sudut Raha sendiri.#
MEGA: Nampak bersinar-sinar kebahagiaan di wajah Raha. Mungkin boleh kongsi sikit kehidupan sekarang.
RAHA: Jelas ke nampak bahagia itu? Alhamdulillah, saya bahagia sekarang. Kalau hendak diibaratkan, mungkin seperti burung yang bebas terbang di udara (ketawa). Mungkin tafsirannya agak berlebihan, tetapi jujur, itu yang saya sedang alami sekarang. Anak-anak pun sedang membesar dengan baik, keluarga pun sihat-sihat belaka. Semuanya baik-baik sahaja.#
Sudah pun bergelar isteri walaupun baru saja bercerai. Boleh kongsi sedikit, bila Raha melangsungkan pernikahan dengan Mr Z?
Ya, saya sudah berkahwin semula. Pada usia 47 tahun ini, saya tidak sangka akan ada lelaki yang sanggup melamar lagi. Sebenarnya saya risau juga. Maklum sajalah, siapa mahu beristerikan nenek kepada empat cucu seperti saya ini, kan? Syukur kepada Allah, jodoh saya untuk bergelar isteri buat kali ketiga masih ada. Suami saya sekarang berusia 49 tahun dan kami melangsung pernikahan di salah sebuah hotel di ibu kota pada Disember lalu.
Perkahwinan kali ketiga ini, saya difahamkan oleh Salih yang Raha merupakan isteri kedua juga, betul?
Ya, betul. Alhamdulillah, isteri pertama menerima kehadiran saya dengan hati terbuka. Jujur, dia pada awalnya sukar untuk menerima saya, tetapi setelah mendengar dengan mulut saya sendiri apa yang saya alami semasa bersama Salih, dia mengerti derita diri ini. Malah, semasa majlis pernikahan saya dengan suami, dia turut hadir dan menyaksikan sendiri akad nikah dilafazkan suami kami. Ibu bapa saya, anak-anak juga menerima suami saya. Seperti saya kata, inilah jodoh.#
Sebelum ini, Salih tampil membuat kenyataan yang seakan meletakkan punca perceraian adalah disebabkan oleh Raha sendiri. Malah, dia pernah mendedahkan wujudnya orang ketiga menyebabkan Raha mula tawar hati, betul ke begitu?
Saya sebenarnya malas untuk ambil peduli kenyataan-kenyataan Salih sehinggalah satu ketika, suami menyuruh saya untuk tampil ke hadapan menerangkan perkara sebenar menyebabkan keruntuhan rumah tangga kami. Bukan saya mahu menegakkan benang yang basah, cuma kenyataan-kenyataan Salih sebenarnya jauh dari apa yang terjadi.#
Saya juga tidak mahu, suami saya terus-menerus dituduh sebagai orang ketiga. Tuduhan itu bagi saya agak melampau, kerana saya dengan suami baharu sudah lama kenal. Sejak kecil lagi kerana kami membesar di kawasan yang sama, di Bangsar. #Jadi, mana datang orang ketiga?
Malah, Salih juga ada mengatakan pertemuan semula atau reunion sebagai punca sedangkan saya sudah hampir lima tahun terlibat dengan aktiviti itu, jadi saya tidak pasti mengapa Salih mengeluarkan kenyataan sebegitu.
Gambar: Utusan Online
0 comments:
Post a Comment